NILAI DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT SEJAHTERA 

PENGENALAN

Topik ini akan menjelaskan definisi Masyarakat 5.o seterusnya membincangkan bagaimana ia berlaku. Kronologi masyarakat 5.0 ini bermula dari masyarakat pemburu atau hunting society (Society 1.0), diikuti dengan masyarakat pertanian atau agrarian society (Society 2.0).  Masyarakat industri atau industrial society (Society 3.0) lahir selepas itu diikuti masyarakat informasi atau information society (Society 4.0) yang lahir dari era revolusi industry 4.0. Seterusnya Masyarakat 5.0 yang menciptakan layanan, nilai-nilai dan cara baharu berasaskan teknologi dalam kehidupan. Senario masyarakat berasaskan teknologi berpusatkan akhlaq yang membentuk masyarakat sejahtera 5.0 ditunjukkan bagi menjelaskan kepentingan pendidikan nilai sebagai persediaan membina masyarakat yang terbentuk dari era industri 4.0 ini.

Pembentukan Masyarakat 5.0 (Sumber:CAO Japan Government)

Setiap ibu yang mengandung dan melahirkan anaknya lagi-lagi yang menyusu anaknya diiringi doa dan zikir penuh kasih sayang tatkala menyusukan anak-anak mereka; pasti sejak anak itu kecil lagi, mendoakan dan menginginkan setiap anak yang dilahirkan, dididik dan diasuh untuk menjadi orang berguna dan bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat serta berjaya dalam hidupnya dunia dan akhirat. Seorang anak yang menghargai secebis pengorbanan ibunya pasti terdetik sebuah ingatan dalam hati kalbunya tatkala meraikan hari lahirnya walau dengan sesiapapun dia meraikannya. Dalam proses membesarkan anaknya itu ada kalanya ibu tanpa sedar meninggikan suara, memarahi, membebel malah menyakiti anaknya. Kadangkala anak yang tidak berfikir panjang menyimpan rasa benci akibat sering dimarahi atau kerana kehendaknya tidak dituruti maka tatkala dewasa dan ada peluang untuk berdikari mereka akan menjauhkan diri dari ibu malah kadangkala dari keseluruhan ahli keluarganya. Tetapi perasaan marah ibu itu muncul hanya beberapa saat sahaja kemudiannya pasti ibu menyesal dan memohon maaf kepada anaknya itu atau melakukan sesuatu tanda dia kesal.  Seorang ibu tidak ada ego terhadap anak kecil dan remaja yang boleh didominasinya jika dia kehendaki. Tetapi kerana iman, cinta dan kasih sayang tulus ikhlas yang mengalir dalam darahnya dia terus menerus mengasihi anaknya sepenuh hati walau apa pun kesilapan, ketidakpatuhan dan keengkaran yang dilakukan oleh anaknya. Namun prinsip hidup dan kepercayaan yang dipegang oleh seorang ibu menentukan juga corak pendidikan dan perilakunya terhadap anak yang dikasihi itu.  

Seorang guru adalah pendidik ibarat seorah ayah atau ibu. Ibu boleh sahaja memaafkan anak yang mengengkarinya. Malah berkali-kali engkar pun pasti dimaafkannya kerana kasih sayang yang mengalir dalam dirinya tak pernah padam. Tatkala anak itu membelakanginya dan khianat khususnya tentang perkara yang berkaitan dengan agama dan budaya yang dipegang oleh keluarga dan masyarakat dia masih memaafi anak yang dikasihinya itu.  Namun kepercayaan yang diberikan sejak anak itu dilahirkan boleh lenyap kerana iman dan kepercayaan terhadap agama dan adab budayanya yang dipegang kukuh sejak turun temurun.  

Setiap insan berhak mendapat sebuah kepercayaan daripada ibu, bapa, guru atau siapa sahaja yang mengasihinya. Allah kurniakan sebuah kepercayaan dalam diri seorang insan yang diberikan kepada semua anak-anak kandung dan anak-anak didik dan orang-orang yang dikasihinya.  Kepercayaan ada satu bagi setiap insan yang dikasihinya. Ia boleh diberikan sekali. Kepercayaan ini harus dibajai kerana ia berkait dengan sebuah keikhlasan dan kejujuran. Tatkala kepercayaan dilenyapkan tiada lagi yang tinggal untuk diberikan lagi. Tidak seperti sebuah kemaafan yang boleh diberikan berkali-kali. Kerana ibu yang dikhianati perlu menjawab kepada tuhannya yang lebih berkuasa dan lebih dikasihinya dan lebih berhak terhadap ketaatannya berbanding dengan kasih sayang dan naluri keibuannya terhadap anak yang telah membelakanginya dan mengkhianati kepercayaannya. Walaupun hancur luluh hatinya melepaskan kepercayaan terhadap anaknya namun dia redha kerana Tuhannya dan dia sedar dia harus melakukannya kerana prinsip dan kepercayaannya. Dia tahu jika dia kehilangan semua yang dikasihinya dia masih ada Penciptanya yang Maha Berkuasa yang akan bersamanya, yang dapat memberikannya kebahagiaan yang kekal abadi untuk selamanya sedangkan anaknya itu hanyalah ujian, sesuatu yang dia cintai untuk sementara di dunia ini sahaja. 

Kepercayaan adalah asas sebuah cinta yang bersulam dengan kasih sayang. Ia boleh wujud dan boleh disemai walaupun sukar untuk dihidupkan setelah mati. Benih baru boleh dipupuk sehingga berbunga menghiasi taman hati di atas jalan menuju akhirat yang dilalui oleh hamba-hambaNya yang sama-sama mematuhi Pemiliknya di atas jalan yang sama menuju negeri akhirat yang sama. Inilah prinsip yang tidak dapat difahami oleh sebahagian besar anak-anak era revolusi teknologi 4.0 yang telah membentuk dan sedang membentuk masyarakat 5.0 yang merupakan cetusan konsep dari Jepun.

Senario Kehidupan dalam  Masyarakat 5.0 (Sumber:CAO Japan Government)

1) Senario Anak Era Generasi 5.0

Oleh kerana ibunya sentiasa memaafkan segala kesalahan kecil dan besar yang pernah mereka lakukan, mereka fikir jika mereka melakukan sesuatu di belakang ibunya sewaktu tinggal jauh daripada keluarga ketika menuntut di universiti atau tatkala berjauhan, mereka pasti akan dimaafkan lagi. Tetapi mereka tidak faham bahawa sebuah kemaafan tanpa diiringi sebuah kepercayaan yang telah dikhianati memberi impak yang berbeza dalam sebuah hubungan dan persaudaraan. Di sinilah nilai jujur, ikhlas dan setia harus difahami.  Jika ibunya seorang yang berpegang kepada adat budaya dan agama yang ditanam dalam dirinya serta ahli keluarga dan dibajai oleh guru-guru yang mengajar anaknya dalam masyarakat yang memegang adat, budaya dan kepercayaan yang sama, mereka akan tahu bahawa 

“…orang yang mukmin itu bersaudara. Oleh kerana itu, damaikanlah kedua saudaramu” 

(al-Hujurat [49:10).

Namun perkara ini tidak selalu berlaku di era teknologi 4.0 dalam masyarakat 5.0 yg terbentuk dari kemajuan yg dikecapi darinya. Semua orang sibuk dengan hal dan gajet masing-masing. Fitnah malah semakin mudah tersebar untuk memburukkan lagi keadaan. Hanya jika seseorang mukmin itu dikelilingi oleh mukmin yang menjaga iman, hati dan ibadahnya dia mungkin dapat diselamatkan dari terus bermusuhan dengan orang yang pada hakikatnya saling mengasihi antara satu sama lain.

Mengasuh dan mendidik bukan sesuatu yang mudah. Ibu merasa mudah hanya kerana kasih sayangnya yang membuatkannya saban hari merasa nikmat membesarkan anaknya dalam keadaan yang sukar. Tetapi hakikatnya membesarkan anak itu tidak pernah mudah. Sebaliknya tugas memelihara dan mendidik mereka kian mencabar hari demi hari khususnya dengan perubahan zaman kepada zaman industri teknologi 4.0 ini. Jadi apakah era atau zaman industri teknologi 4.0? Sebenarnya negara Jepun sudah menghadapi era 5.0 tapi kita masih belum lagi memahami impak revolusi teknologi 4.0 ini. Era revolusi teknologi ini tercetus sejak pertengahan abad ke-18 lagi sebenarnya. 

Sebelum era revolusi industri yang pertama ini ibu bapa rata-rata membesarkan anak dengan kudratnya membanting tulang di kebun atau di ladang. Anak-anak yang membantu ibu bapanya dapat melihat betapa susahnya ibu bapa mencari rezeki untuk membesarkan mereka. Walau kadang jiwa mereka memberontak namun kedekatan jiwa dan fizikal mereka tatkala saling membantu dalam hal keluarga sering melunturkan perasaan tersebut sehingga yang lahir hanya perasaan yang positif. Hasil yang diusahakan oleh ibu bapa mereka tatkala mereka keluar menuntut ilmu sering dibantu oleh mereka seusai pengajian di sekolah dengan memindahkan hasil titik peluh ibu ayahnya bersama-sama menggunakan kereta lembu atau kereta kuda jika di negara barat dan lain-lain kenderaan seumpamanya yang tidak menggunakan sebarang teknologi canggih melainkan kudrat makhluk hidup.  

2) Perubahan Zaman Yang Membentuk Masyarakat 5.0


Kemudian zaman mula berubah dengan revolusi industri yang pertama di mana sektor pembuatan semakin maju dan kilang-kilang mula bercambah di mana-mana. Teknologi wap muncul dengan pelbagai ciptaannya seperti keretapi yang membolehkan pengangkutan menjadi lebih laju dan efisien. Lebih banyak pekerjaan dicipta dengan kemajuan ini yang membolehkan komunikasi juga berlaku dengan cepat dan mudah. Bahkan cabarannya meningkat tatkala anak-anak yang sebelumnya membantu ekonomi keluarga di kampong mula berhijrah ke bandar-bandar untuk bekerja di kilang-kilang atau di pejabat serta industri yang terletak di bandar dan di kota. Tidak salah untuk berhijrah malah setiap pilihan dan keputusan yang dibuat dengan rasional, berpaksikan kepada rasa tanggungjawab dan hormat-menghormati selalu membuahkan hasil yang baik.   

Seterusnya pada abad ke-19 mulai tahun 1900, teknologi industri ke-2 yang sebelumnya berasaskan teknologi wap, terus maju sehingga terciptanya teknologi elekrik secara besar-besaran. Dalam tempoh yang sama, produk di industri dapat meningkatkan pengeluaran dalam angka yang berlipat kali ganda sehingga harga barangan elekrik dan lain-lain yg terlibat dapat dikurangkan. Pada masa ini pelbagai kenderaan lain yang berasaskan elektrik telah tercipta, kereta, motor dan lori mula kelihatan di jalan-jalan raya juga di desa.  Pada masa ini produktiviti kereta telah meningkat lapan kali ganda.  Kebanyakan manusia mulai memiliki kenderaan, komunikasi menjadi semakin cepat dan mudah, Internet mula masuk dalam kehidupan manusia. Semakin banyak alat elekrik tercipta.  Kerja-kerja rumah semakin mudah. Anak-anak muda dan remaja sudah boleh meninggalkan ibunya bekerja sendiri dengan bantuan pelbagai alat elektronik untuk kerja-kerja rumah dan mereka mula mencari pekerjaan di luar. 

Selepas itu teknologi industri 3.0 datang pada abad ke-20 mulai tahun 2000 dengan teknologi automasi dan digital.  Mesin dan robot boleh bekerja sendiri dengan proses digitasi. Anak-anak kecil mula berjinak-jinak dengan permainan komputer apabila mula keluar bermain di kafe-kafe siber. Yang memiliki komputer mula menjelajah ke dunia siber. Hubungan antara ahli keluarga beransur-ansur renggang tatkala anak-anak mula memperoleh pekerjaan di luar rumah atau bermain permainan komputer mahupun yang sibuk menjelajah Internet di luar atau di dalam rumah.  Ibu-ibu mula melaksanakan kerja di rumah sendiri dengan segala kemudahan elektronik yang ada malah Internet juga sudah dapat membantu menghubungkan anak-anak yang jauh di perantauan dengan kos yang jauh lebih murah.

Mulai tahun 2011 dunia mula memasuki gelombang revolusi industri ke-4. Ia bermula di negara-negara maju. Dalam era industri 4.0 ini teknologi, komputer dan automasi bekerja dalam sebuah kaedah yang baru.  Mesin, peranti, sensor dan manusia berkomunikasi antara satu sama lain.  Pelbagai masalah yang terlalu sukar kini dapat diselesaikan dengan teknologi baru menggunakan automasi, analisis dan data gadang, simulasi dan integrasi sistem.  Malah teknologi baharu ini bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah yang dahulunya sangat sukar tetapi ia juga dapat membantu membuat ramalan sebelum sesuatu masalah atau musibah berlaku.  

Dengan teknologi baharu ini juga komputer boleh mengajarkan dirinya sendiri menggunakan bahasa mesin yang mana proses ini disebut sebagai Machine Learning di mana mesin belajar sehingga memperoleh kepintaran. Keadaan ini disebut Kepintaran Buatan. Sistem seperti ini malah boleh diintegrasikan dalam tubuh manusia misalnya untuk memulihkan fungsi deria buat golongan kurang upaya misalnya bagi memulihkan penglihatan, pendengaran dan seumpamanya. Dengan teknologi automasi, industri 4.0 mengatasi kebergantungan terhadap tenaga buruh kurang mahir. Hal ini membantu pengurusan input dan output secara sistematik. Dengan adanya teknologi automasi, data gadang, bandar pintar dan sistem pengangkutan yang boleh beroperasi sendiri di jalan raya, semua kenderaan boleh merancang sendiri perjalanan mereka secara automatik.  Perancangan bandar boleh terus menjadi lebih teratur, masalah trafik boleh dikurangkan atau ditiadakan dan proses penghantaran produk menjadi lebih efisien.

Dengan usaha agensi-agensi kerajaan membantu dan menggalakkan pemain-pemain industri tempatan berubah seiring dengan kehendak industri 4.0, Malaysia menuju ke arah industri 4.0 justeru sudah harus bersedia untuk hidup dalam era masyarakat 5.0. Masyarakat 5.0 ialah masyarakat pintar yang memberi penekanan integrasi teknologi pintar dan manusia. Masyarakat ini dikenali sebagai “mesin yang berjiwa” (Nuruddin, 2020) yang memberi penekanan kepada teknologi dan manusia berasaskan kepada teras-teras yang dikaitkan dengan Revolusi Industri 4.0.  

3) Membentuk Masyarakat Sejahtera 5.0


Secara khususnya, Masyarakat 5.0 (Society 5.0) iaitu sebuah masyarakat yang boleh menguasai kehidupan di kedua-dua alam iaitu di alam siber dan di alam nyata. Masyarakat 5.0 ini dapat menganalisis dan mensintesis maklumat yang dihasilkan daripada teknologi revolusi ke-4 dalam pelbagai bentuk yang mengatasi kemampuan manusia yang akan memberi impak besar kepada industri dan masyarakat. Justeru, masyarakat perlu dipersiapkan bagi menghadapi kelajuan dan perubahan pesat yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 ini. Sebelum ini tumpuan kita hanya kepada Revolusi Industri 4.0 atau lebih tepat lagi memberi tumpuan kepada teknologi tersebut. Kejayaan Revolusi Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0 perlu seiring agar pembangunan yang dikecapi bersifat menyeluruh bagi membina masyarakat madani dan sejahtera. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, masyarakat madani adalah masyarakat yang maju bukan sahaja dari aspek kebendaan tetapi juga maju dari aspek kerohanian dan pemikiran bagi menghasilkan sebuah masyarakat yang selamat sejahtera.

Pembentukan Kehidupan dalam  Masyarakat 1.0-5.0 (Sumber:CAO Japan Government)

Dalam kebanyakan situasi, asuhan dilihat menjadi titik penting dalam membentuk modal insan cemerlang. Ia membawa tiga makna iaitu melindungi, mendidik dan membesarkan anak. Meneliti dari dekat, asuhan adalah peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan permata hati mereka yang merangkumi setiap sudut keperluan termasuk fizikal, emosi, intelek, perlindungan dan spiritual. Asuhan ibu bapa boleh dianggap sebagai kunci utama dalam membentuk peribadi seorang anak kerana perlakuan mereka cenderung meninggalkan pengaruh dalam kehidupan individu di masa akan datang. Kerap kali kita diingatkan bahawa, jika anak kecil dan remaja diasuh dengan seimbang sejak kecil, mereka akan membesar menjadi insan yang dapat membahagiakan dan bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat. Begitulah sebaliknya kerap kali juga kita mendengar orang memperkatakan bahawa anak yang dibesarkan dengan asuhan negatif, sudah pasti mereka juga akan membesar sebagai seorang yang melihat dunia dari kaca mata yang negarif. 

Zaman remaja adalah tempoh peralihan yang mencabar. Ketika ini mereka mula mengalami perkembangan fizikal, daya fikir dan menyedari kecenderungan serta kemampuan diri justeru persekitaran positif amat penting. Sungguhpun demikian kita kerap kali juga terjumpa kes-kes terpencil di mana anak-anak sudah dibesarkan oleh ibu bapa atau ibu tunggal yang sudah kehilangan suami mereka dengan baik malah “bagai menatang minyak yang penuh”. Namun anak-anak setelah dewasa dan boleh berdikari tetap meninggalkan ibunya mencari kebahagiaan mereka sendiri. Apakah salah ibu yang mengandunginya, menyusukannya, mengasuh dan mendidiknya sehingga dewasa? Anak yang taat dan baik boleh berubah sekelip mata malah boleh mengkhianati kepercayaan ibunya dengan persekirataran baharu yang menjadi tempat dia belajar perkara-perkara baharu.  Dengan teknologi dan rakan-rakan dia boleh berubah. Namun anak yang sudah sempat dibekali dengan pendidikan iman dan sudah memegang dan memeluk dan membaluti dirinya dengan iman tidak akan mudah digoyahkan oleh media mahupun rakan.  

PENUTUP

Jadi apakah faktor-faktor yang dapat menjamin keutuhan iman atau kepercayaan anak-anak ini agar ia tidak mengkhianati orang tuanya dengan perilaku yang tidak menyenangkan?

Terdapat 5 poin daripada beribu-ribu poin tentang manfaat iman yang berasaskan makna ayat dari Surah Tin [95]: 4-6 yang menghuraikan perkara ini.

Kami telah mencipta manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya (neraka).  Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya”. 

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah masyarakat 5.0 adalah masyarakat berasaskan teknologi dan berkebolehan untuk menganalisis dan mensintesis maklumat yang dihasilkan daripada teknologi revolusi ke-4 dalam pelbagai bentuk yang mengatasi kemampuan manusia yang akan memberi impak besar kepada industri dan masyarakat. Justeru nilai dan akhlaq harus menjadi tunjang dalam kehidupan mereka bagi memperoleh keseimbangan dan kesejahteraan kehidupan.

Keselesaan Kehidupan dalam  Masyarakat 5.0 Berasaskan Teknologi Bertunjangkan Nilai 
(Sumber:CAO Japan Government)

SUMBER

  1. Government of Japan, CAO. (2022). Society 5.0. [online] Available at: https://www8.cao.go.jp/cstp/english/society5_0/index.html.
  2. Nuruddin (2020)

About Rosseni

Educational Technology - Akademik Tarbiyyatul Qalbi - Diri Tarbiyyatul Aulad - Keluarga
This entry was posted in Curriculum. Bookmark the permalink.

10 Responses to NILAI DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT SEJAHTERA 

  1. anisbintizakaria says:

    Assalamualaikum.

    Selesai membaca entry ini, saya sedar bahawa saya sedang berhadapan dengan generasi 5.0. Di rumah, berhadapan dengan anak-anak dan di sekolah berhadapan dengan murid-murid yang sedang melalui zaman mencabar mereka.

    Tidak dinafikan, teknologi sudah menjadi seakan keperluan asas dalam diri manusia hari ini. Buktinya, anak-anak yang sedang leka dengan gadget tidak sedar dirinya sedang dalam kelaparan kerana terlalu leka dengan gadget.

    Namun, kemajuan sepatutnya disusuli dengan aspek nilai agar dapat diseimbangkan dalam menghadapi kemajuan yang sedang bergerak laju. Saya tertarik dengan ayatul Quran daripada Surah At-Tin yang diketengahkan oleh Prof Dr dalam entry ini : bahawa manusia dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Kemudian, akan dikembalikan ke tempat yang serendah-rendahnya. Hanya dengan bekalan iman dan amal soleh yang akan menyelamatkan manusia dari seksaan api neraka.

    Justeru, masyarakat 5.0 yang berkebolehan dalam aspek teknologi dan menganalisis serta mensintesis segala maklumat ini haruslah ditunjangi dengan nilai dan akhlak agar kehidupan yang kita jalani ini menjadi lebih seimbang.

    Meski dunia di hujung jari, namun iman mesti utuh di hati.
    Sekian.

    Anis Zakaria
    Sarjana Eksekutif
    Pendidikan Islam
    10 Jun 2022

    • Saya sangat bersetuju dengan pendapat saudari, Anis. Sememangnya kehidupan dalam ledakan teknologi dan informasi sangat mencabar. Kita perlu bijak memilih dan menggunakan teknologi pada jalan yang betul. Sebagai ibu bapa, kita perlu memantau anak-anak supaya mereka tidak tersasar dan leka hingga menyebabkan ketagihan gadjet sampai lupa nilai-nilai yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat.

  2. Hakikatnya sekarang kita kini berada di zaman di mana semuanya di hujung jari. Mendidik anak tidak bermaksud lebih sukar daripada generasi sebelumnya, kerana hakikat proses mendidik anak itu sendiri adalah sukar, cuma cabaran kini pebih berbeza. Penelitian terhadap didikan perlu diperhalusi supaya anak-anak dapat mengawal tingkah laki kereka bukan sahaja secara fizikal, terapi juga di alam maya. Sebagai ibu bapa, perkara yang amat penting untuk kita sematkan dalam hati ialah, kita mendidik mereka bukan untuk tidak melakukan kesilapan, tetapi supaya mereka tahu cara untuk bangkit setelah melakukan kesilapan. Pemantapan rohani, akidah perlu seiring dengan perkembangan pembelajaran akademik mereka. Terima kasih dr atas perkongsian. Semoga masyarakat kita lebih bersedia untuk berada di fasa masyarakat 5.0 👍🏻

  3. Alhamdulillah syukur, apa yang dirumuskan oleh Prof sangat terkesan buat saya. Sebagai ibu dan juga pendidik pastinya saya juga akan berhadapan dengan isu dan cabaran dalam proses asuhan, didikan dan perkembangan pendidikan anak-anak pada era globalisasi hari ini. Setiap perubahan yang berlaku dalam revolusi teknologi pada hari ini membeikan impak yang sangat besar terhadap perkembangan dan pembentukan sosioekonomi dan sosiobudaya sesebuah negara termasuklah dari aspek nilai kendiri. Ledakan revolusi 5.0 juga kian terasa. Perubahan teknologi kini berlaku sangat pantas. Dengan adanya konsep Keselesaan Kehidupan dalam Masyarakat 5.0 Berasaskan Teknologi Bertunjangkan Nilai diharapkan dapat membantu semua golongan masyarakat dan industri bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran di era revolusi 5.0 dengan menitikberatkan nilai dan akhlaq yang seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan kita bagi memperoleh keseimbangan dan kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat. Tahniah prof atas perkongsian artikel ini.

  4. syahmishari says:

    “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya”, inilah ungkapan yang diucapkan oleh Saidina Ali sepupu Nabi Muhammad. Relevan dan sesuai sepanjang zaman. Bagaimana yang dikatakan sesuai itu perlu ditanya pada orang sedang duduk di zaman itu.

    Tulisan Dr.Rosseni sangat baik dan mudah difahami. Masyrakat 5.0 kini yang begitu canggih dari segala macam aspek dan bidang, membawa kita ke satu perubahan. Cuma perlu diseimbangkan dan diperhatikan terutama anak-anak kecil yang semakin membesar.

    Anakku Sazali, suatu karya pada tahun 1956 yang dibintangi arwah P.Ramlee memberi gambaran yang sangat terkehadapan dalam filem itu. Banyak sudut positif yang boleh diambil jika kita mengharungi kecanggihan Revolusi Industri 4.0 dan banyak kerugian jika kita langsung tidak ambil peduli dengan R.I 4.0 ini. Jika kita tidak mengharungi kecanggihan yang berlaku kini, tidak mungkin kita mampu membimbing, mendidik masyarakat 5.0 sekarang ini.

    Ayuh selami, perhati dan ambil peduli dengan masa kini. Di situlah peranan kita dalam membentuk masyarakat sejahtera 5.0.

    Terima kasih Dr.Rosseni atas tunjuk ajarmu.

    Muhammad Syahmi bin Mohd Shari
    Sarjana Pendidikan
    Pendidikan Islam

  5. Tulisan yang baik. Wajar dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya anak muda yang bakal berhadapan dengan generasi akan datang. Perkembangan gaya hidup masyarakat dunia berkembang mengikut keperluan zaman dan pencapaian ilmu pada zaman itu. Harapannya generasi akan datang akan memperbaiki kekurangan generasi kini.

    Abdul Azim
    Sarjana Pendidikan
    Pendidikan Islam
    10 Jun 2022

  6. amirahadibah says:

    Dunia kini kian mencabar menghadapi revolusi perkembangan teknologi yang kian pesat. Oleh itu, penerapan nilai, agama serta akhlak yang mulia haruslah dipasakkan dengan kukuh dalam diri generasi 5.0. Hal ini disebabkan tanpa penghayatan serta pengamalan terhadap ilmu yang dipelajari, sudah tentulah akan rosak sesebuah generasi tersebut. Semua pihak terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang begitu penting untuk sama-sama menggembeleng usaha serta tenaga bagi memastikan generasi 5.0 ini tidak terus lalai dibawa arus pemodenan dalam dunia teknologi sebaliknya menggunakan teknologi ini sebagai medium bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara ke arah yang lebih baik.

  7. Pingback: REFLEKSI PERTEMUAN 1 – Khadijah Zaf

  8. Pingback: REFLEKSI KESELURUHAN PERTEMUAN KEDUA – Kekdaaa

  9. Pingback: PENDIDIKAN SEIRING TEKNOLOGI – Panduan Pengurusan Data

Leave a comment